Pakkat, Lalapan Tradisional Penambah Selera di Bulan Ramadan

Tinjauan di beberapa pasar Ramadan di Medan mendapati peniaga menjual pakkat dalam pelbagai bentuk, termasuk yang sudah dipanggang dan siap dimakan. Menurut seorang peniaga, Rahmat Siregar, 45, permintaan terhadap pakkat meningkat setiap kali Ramadan.
"Setiap tahun, ramai yang mencari pakkat untuk berbuka puasa. Rasa sedikit pahit tetapi rangup menjadikannya enak dimakan bersama sambal atau air asam," katanya.
Pakkat biasanya dimakan mentah selepas dibakar atau dicelur, dan sering dipadankan dengan nasi serta lauk-pauk lain. Selain itu, ia juga digunakan dalam masakan berkuah seperti gulai lemak.
Seorang pelanggan, Siti Aisyah, 32, berkata dia menjadikan pakkat sebagai ulam wajib ketika berbuka kerana ia membantu mengembalikan selera makan selepas seharian berpuasa.
"Bagi saya, pakkat bukan sekadar makanan tradisional, tetapi juga membantu penghadaman dan menambahkan tenaga selepas berpuasa," katanya.
Selain enak, pakkat juga dipercayai mempunyai khasiat tersendiri, termasuk membantu melancarkan pencernaan dan mengawal kadar gula dalam darah. Dengan permintaan yang semakin meningkat, para peniaga berharap hidangan tradisional ini terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.red2